عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ».
[صحيح] - [رواه مسلم] - [صحيح مسلم: 2699]
المزيــد ...
Daripada Abū Hurayrah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Sesiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesusahan, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa membantu hamba-Nya selagi hamba itu membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah menyebut mereka dalam kalangan makhluk yang ada di sisi-Nya. Dan sesiapa yang amalnya melambatkannya, nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”
[صحيح] - [رواه مسلم] - [صحيح مسلم - 2699]
Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa ganjaran seorang Muslim di sisi Allah adalah sejenis dengan apa yang dia lakukan terhadap sesama Muslim. Maka sesiapa yang meringankan, melepaskan, menghilangkan dan melenyapkan kesusahan serta kesempitan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan membalasnya dengan meringankan baginya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesempitan, memberi kelapangan kepadanya, dan menghilangkan kesukarannya, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, umpamanya jika dia mengetahui kesilapan dan kekhilafan yang tidak patut didedahkan daripadanya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu menolong saudaranya dalam urusan agama dan dunianya. Bantuan itu boleh diberikan melalui doa, tenaga, harta dan lain-lain. Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu syariat dengan niat mengharap keredaan Allah Taala, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan dan kedamaian, diliputi dan diselubungi rahmat Allah, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah memuji mereka dalam kalangan makhluk yang dekat dengan-Nya. Cukuplah sebagai satu kemuliaan apabila Allah menyebut nama hamba-Nya dalam kalangan penduduk langit. Sesiapa yang amalannya kurang, yang tidak melayakkannya untuk mencapai kedudukan orang-orang yang banyak beramal, dia tidak patut bergantung kepada kemuliaan nasab dan keutamaan bapanya sambil mengambil ringan akan amalannya sendiri.