عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
«الدِّينُ النَّصِيحَةُ» قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: «لِلهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ».
[صحيح] - [رواه مسلم] - [الأربعون النووية: 7]
المزيــد ...
Daripada Abu Ruqayyah, Tamim bin Aus al-Dari رضي الله عنه bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Agama itu nasihat"
Kami bertanya: "Untuk siapa?"
Baginda menjawab: "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam dan seluruh kaum Muslimin."
[صحيح] - [رواه مسلم] - [الأربعون النووية - 7]
Nabi ﷺ mengkhabarkan bahawa agama ini berdiri di atas keikhlasan dan kebenaran, sehingga ia dilaksanakan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah dengan sempurna tanpa sebarang kecuaian atau penipuan. Lalu ditanya kepada Nabi ﷺ: “Untuk siapa nasihat itu?” Lalu Baginda bersabda: Pertama: Nasihat kerana Allah SWT Iaitu dengan mengikhlaskan segala amalan hanya untuk-Nya, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun, beriman dengan keesaan-Nya dalam rububiyyah dan uluhiyyah-Nya, serta dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Begitu juga dengan mengagungkan perintah-Nya dan menyeru manusia supaya beriman kepada-Nya. Kedua: Nasihat terhadap kitab-Nya iaitu al-Quran al-Karim: dengan meyakini bahawa ia adalah kalam-Nya, kitab terakhir-Nya, dan ia menghapuskan semua syariat sebelumnya. Kita hendaklah mengagungkannya, membacanya dengan bacaan yang sebenar, beramal dengan ayat-ayat yang muhkam (sudah jelas hukumnya), menerima ayat-ayat yang mutasyabih (perlu diperjelaskan), mempertahankannya daripada tafsiran golongan yang menyeleweng, mengambil iktibar daripada peringatannya, menyebarkan ilmunya, serta mengajak manusia kepadanya. Ketiga: Nasihat untuk Rasul-Nya Muhammad ﷺ dengan meyakini bahawa baginda adalah penutup para rasul, membenarkan apa yang baginda bawa, mentaati perintahnya, menjauhi larangannya, tidak beribadah kepada Allah kecuali dengan apa yang disyariatkannya, mengagungkan haknya, memuliakannya, menyebarkan dakwahnya, menyebarkan syariatnya serta menolak segala tuduhan terhadapnya. Keempat: Nasihat untuk para pemimpin umat Islam dengan membantu mereka menegakkan kebenaran, tidak merampas kuasa daripada mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara ketaatan kepada Allah. Kelima: Nasihat untuk seluruh kaum Muslimin dengan berbuat baik kepada mereka, mengajak mereka kepada kebaikan, menahan diri daripada menyakiti mereka, mengasihi mereka dengan menginginkan kebaikan untuk mereka, serta bekerjasama dengan mereka dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.