عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟».
[صحيح] - [رواه مسلم] - [صحيح مسلم: 1015]
المزيــد ...
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
«Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan hanya menerima yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul-Nya. Allah berfirman: {Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} [Al-Mu’minun: 51] dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang telah Kami rezekikan untuk kamu} [Al-Baqarah: 172].
Kemudian Nabi menyebut tentang seorang lelaki yang menempuh perjalanan jauh, kusut dan berdebu, mengangkat tangannya ke langit sambil berkata: “Ya Tuhanku, Ya Tuhanku,” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dibesarkan dengan yang haram. Maka bagaimana doanya itu akan diterima?»
[صحيح] - [رواه مسلم] - [صحيح مسلم - 1015]
Nabi ﷺ memberitahu bahawa Allah itu Maha Suci, terpelihara daripada segala kekurangan dan cacat, serta bersifat dengan segala kesempurnaan. Allah hanya menerima amalan, perkataan dan kepercayaan yang benar, iaitu yang ikhlas kerana-Nya dan selaras dengan petunjuk Nabi ﷺ. Tidak sepatutnya seseorang mendekatkan diri kepada Allah kecuali dengan amalan yang demikian.
Salah satu cara paling utama untuk memperoleh kesucian amalan bagi seorang mukmin ialah memastikan makanannya adalah halal dan baik. Dengan itu, amalannya menjadi bersih dan diterima. Oleh itu, Allah memerintahkan orang-orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan para rasul, iaitu memakan yang halal dan mengerjakan amal soleh. Allah berfirman:
{Wahai para rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan} dan berfirman: {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada makanan yang baik yang Kami telah rezekikan untuk kamu}
Kemudian Nabi ﷺ memberi peringatan tentang larangan memakan yang haram, kerana ia merosakkan amal dan menghalang penerimaan amal tersebut walaupun pelbagai usaha bagi penerimaan telah dilakukan. Antaranya ialah:
Pertama: Menempuh perjalanan jauh dalam menjalankan ibadah seperti haji, jihad, menyambung silaturahim dan lain-lain.
Kedua: Rambutnya kusut kerana tidak disikat dan warna rambut serta pakaiannya berubah kerana debu, menunjukkan keadaannya yang terdesak.
Ketiga: Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit ketika berdoa.
Keempat: Dia memohon pertolongan kepada Allah dengan menyebut nama-Nya dan berulang-ulang dengan penuh pengharapan: “Ya Rabb, Ya Rabb!”
Walaupun dia melakukan semua amalan itu untuk dikabulkan doanya, ia tidak akan dikabulkan. Hal ini kerana makanannya, minumannya dan pakaiannya adalah daripada yang haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka jauh sekali untuk doanya diterima, bagaimana mungkin ia dikabulkan?