عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رضي الله عنهما قال: قال رَسولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا، وَإِنْ كَانَتْ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ فِيهِ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذَا خَاصَمَ فَجَرَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ».
[صحيح] - [رواه البخاري ومسلم] - [الأربعون النووية: 48]
المزيــد ...
Daripada Abdullah bin Amr رضي الله عنهما, beliau berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Empat perkara yang jika ada pada seseorang, ia termasuk dalam tanda-tanda munafik, dan jika terdapat salah satu daripadanya, maka ia mengandungi sebahagian sifat nifaq sehingga ia meninggalkannya: Apabila berbicara, dia berdusta. Apabila berjanji, dia memungkirinya. Apabila berselisih, dia melampaui batas. Dan apabila membuat perjanjian, dia mengkhianatinya."
[صحيح] - [رواه البخاري ومسلم] - [الأربعون النووية - 48]
Nabi صلى الله عليه وسلم memberi peringatan tentang empat sifat ini. Sekiranya sifat-sifat ini terkumpul pada seorang Muslim, dia sangat menyerupai orang munafik kerana sifat-sifat tersebut. Ini berlaku bagi orang yang sifat-sifat itu menguasai dirinya (sering melakukannya) manakala bagi yang jarang memilikinya (jarang melakukannya), tidak termasuk dalam kategori ini. Sifat-sifat tersebut ialah:
Pertama: apabila bercakap, dia sengaja berdusta dan tidak jujur dalam ucapannya.
Kedua: Apabila membuat perjanjian, dia tidak menepatinya dan mengkhianati pihak yang membuat perjanjian dengannya.
Ketiga: Apabila memberi janji, dia tidak menunaikannya dan mengingkarinya.
Keempat: Apabila bertengkar atau berkelahi dengan seseorang, pertengkarannya menjadi keras, dia menyimpang daripada kebenaran, menggunakan tipu daya untuk menolak dan membatalkan, serta berkata perkara yang salah dan dusta.
Sesungguhnya nifaq ialah menzahirkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang tersembunyi di dalam hati. Makna tersebut wujud pada orang yang memiliki sifat-sifat ini, dan nifaqnya berlaku terhadap orang yang dia bercakap, dijanjikan, dipercayai, bertengkar atau membuat janji dengannya, bukan bahawa dia seorang munafik dalam Islam yang zahirnya menunjukkan iman tetapi batinnya mengandungi kekufuran. Sesiapa yang wujud padanya salah satu sifat ini, maka dia memiliki sebahagian sifat nifaq sehingga dia meninggalkannya.